Sunday, 2 October 2011
ALAM SEKITAR...
PENGENALAN
Dalam tahun 1995, proses disentralisasi kerja-kerja menyemak dan meluluskan laporan EIA telah dilaksanakan di semua 13 Pejabat Jabatan Alam Sekitar Negeri. Walau bagaimanapun, projek-projek yang meliputi lebih daripada satu negeri dan laporan terperinci EIA masih diproses di Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar.
Langkah-langkah untuk mempertingkatkan lagi prosedur EIA terus diberi penekanan. Antaranya ialah kajian semula Buku Panduan EIA yang diterbitkan semula pada bulan Ogos 1995. Manakala 12 set garis panduan spesifik juga telah diterbitkan yang melibatkan aktiviti-aktiviti seperti bekalan air bawah tanah dan air permukaan, penjanaan dan pemancaran kuasa, saliran dan pengairan, pelabuhan perikanan dan akuakultur berasaskan penggunaan tanah, empangan dan takungan air, perlombongan dan kuari, tempat peranginan di kawasan bukit, kemudahan pelancongan di kawasan taman negara, kemudahan pelancongan di pulau-pulau yang dikelilingi oleh perairan yang diwartakan sebagai taman laut, industri, pengolahan dan pelupusan sisa pepejal perbandaran dan pelupusan serta pengolahan sisa toksik dan berbahaya. Selain daripada itu, Jabatan juga telah bekerjasama dengan memberikan input kepada penyediaan dan penerbitan garis panduan bagi aktiviti pembinaan jalan raya dan lebuh raya oleh Jabatan Kerja Raya.
PROSEDUR EIA
Pemberitahuan Projek-Projek yang tertakluk kepada Perintah EIA Sebagai langkah proaktif, Jabatan Alam Sekitar meneruskan usaha menyenaraikan projek-projek yang tertakluk di bawah Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling sebagaimana yang dimaklumkan oleh pihak pencadang projek ataupun yang dilaporkan oleh media massa walaupun tiada keperluan mengenai pemberitahuan ini. Pada tahun 1995, sejumlah 1,705 cadangan projek yang tertakluk kepada Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling telah diawasi berbanding dengan hanya 344 projek dalam tahun 1994. Antara projek yang paling banyak dicadangkan ialah untuk aktiviti pembangunan kemudahan rekreasi dan tempat peranginan (19 peratus), dan diikuti oleh kuari (18 peratus), infrastruktur (12 peratus), perumahan (10 peratus) dan industri (9 peratus).
Semakan Laporan
Bilangan laporan EIA yang diterima pada tahun 1995 telah meningkat sebanyak 16 peratus berbanding dengan tahun 1994. Daripada 348 laporan yang diterima, sebanyak 339 adalah laporan awal EIA, 1 laporan terperinci EIA dan 8 laporan analisa risiko yang berkaitan dengan kemudahan berbahaya (rujuk Rajah 5.1).
Semenjak Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) dikuatkuasakan pada 1 April 1988, sehingga 31 Disember 1995, bilangan laporan EIA yang telah diterima adalah berjumlah 1,444 dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,363 (94 peratus) adalah laporan awal EIA, 62 (4 peratus) laporan analisa risiko, 8 laporan terperinci EIA dan selebihnya iaitu sebanyak 11 laporan bagi cadangan pembangunan yang dijalankan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Kategori Projek dan Aktiviti-aktiviti yang Ditetapkan
Sehingga kini, bilangan laporan yang paling banyak diterima semenjak Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling), 1987 dikuatkuasakan ialah pembangunan tempat-tempat peranginan dan rekreasi (17 peratus) diikuti dengan pembangunan projek-projek infrastruktur (16 peratus) dan projek-projek perumahan serta aktiviti kuari, masing-masing sebanyak 14 peratus Laporan EIA yang berkaitan dengan aktiviti kuari didapati telah meningkat pada tahun 1994 dan 1995, manakala keadaan sebaliknya berlaku bagi aktiviti industri setelah tidak mengalami perubahan antara tahun 1991 sehingga 1993. Laporan terperinci EIA yang pertama bagi aktiviti penjanaan kuasa iaitu Projek Kuasa Hidroelektrik Bakun di Sarawak telah dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar untuk ulasan. Projek ini merupakan aktiviti yang tertakluk di bawah bidang kuasa Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Negeri Sarawak. Rajah 5.2 menunjukkan perbandingan taburan laporan EIA mengikut kategori aktiviti-aktiviti bagi tahun 1995 dan untuk tempoh antara tahun 1988 hingga 1995.
Sehingga 31 Disember 1995, sejumlah 353 laporan EIA (86 peratus) telah disemak. Ini termasuklah 61laporan EIA yang dibawa ke hadapan dari tahun 1994. Manakala yang selebihnya iaitu sebanyak 56 laporan EIA masih dalam semakan ataupun keputusannya masih tertakluk kepada beberapa maklumat tambahan yang belum diperolehi daripada pihak penggerak projek. Rajah 5.3 menunjukkan bilangan laporan EIA yang telah disemak setiap tahun dalam tempoh masa dari tahun 1988 sehingga 1995.
Sejumlah 238 daripada 348 laporan EIA yang diterima telah diluluskan, 38 laporan ditolak, 16 laporan telah ditarik balik oleh penggerak projek dan selebihnya iaitu sebanyak 56 laporan telah dibawa ke tahun 1996 untuk disemak. Secara keseluruhannya, bermula dari 1 April 1988, sebanyak 1,081 (75 peratus) laporan telah diluluskan, 194 (13 peratus) laporan telah ditolak dan 52 laporan (3 peratus) telah ditarik balik oleh pihak pemaju. Rajah 5.4 menunjukkan status laporan EIA yang telah diproses pada setiap tahun dalam tempoh masa 1988 hingga 1995.
Rajah 5.5 pula menunjukkan kemajuan bagi tempoh pemprosesan laporan EIA. Secara purata, masa yang diambil adalah 1.6 bulan bagi satu laporan iaitu dengan kadar yang lebih baik daripada tempoh 3 bulan yang ditetapkan dalam Piagam Pelanggan. Berdasarkan pencapaian ini, bermula dari 1 Mac 1995, Piagam Pelanggan bagi memproses setiap laporan EIA telah dikurangkan kepada 2.5 bulan bagi setiap laporan. Sepanjang pelaksanaan EIA, analisa taburan laporan EIA mengikut negeri projek dibangunkan menunjukkan tren yang sama dengan tahun 1994, iaitu 38 peratus daripada keseluruhan jumlah laporan yang diterima ialah dari negeri Selangor dan Johor, iaitu jauh melebihi negeri-negeri lain. Manakala laporan EIA bagi negeri Perlis dan Kelantan pula merupakan yang terendah diikuti dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan
.
Rajah 5.6 menunjukkan taburan laporan EIA bagi setiap negeri untuk tempoh 1988 hingga 1995.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment