Perkakasan dan perisian GIS telah ditingkatkan bagi menampung tiga pengguna yang menggunakan Sistem GIS serentak melalui Rangkaian Tempatan (LAN) yang sedia ada.
Peta-peta tematik GIS yang dihasilkan terus memainkan peranan dalam membekalkan maklumat untuk membuat sesuatu keputusan. Antara projek-projek yang dijalankan dalam tahun 1995 ialah:
- Pemetaan bagi Projek Pembangunan di Lojing, Kelantan
- Projek-projek EIA di sekitar Mimaland
- Aktiviti pembersihan tanah di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Subang
- Pembangunan di sekitar Genting Highlands
- Peta Kegunaan Tanah (1990) bagi Selangor, Pahang, Terengganu, Negri Sembilan dan Perlis
Penilaian awal tapak projek-projek dapat memastikan aspek alam sekitar diambilkira dalam pembangunan projek projek yang tidak tertakluk kepada Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling, 1987.
Penempatan
sesuatu cadangan projek dinilai berasaskan kegunaan tanah sedia ada di sekeliling kawasan tersebut. Pelan-pelan pembangunan telah dikaji bagi memastikan kawasan- kawasan sensitif alam sekitar seperti kawasan perumahan, sekolah, kawasan tadahan air, hutan simpan dan taman negara terletak pada jarak yang mencukupi bagi mengelakkan sebarang impak alam sekitar akibat daripada aktiviti pembangunan yang dijalankan di sekitarnya.
Pencadang-pencadang projek perlu melaksanakan langkah-langkah kawalan yang bersesuaian bagi mengurangkan pencemaran pada awal peringkat perancangan projek. Jabatan Alam Sekitar Negeri memainkan peranan utama dalam menjalankan siasatan tapak cadangan projek dan kemudiannya memajukan ulasan, pandangan dan cadangan kepada pihak-pihak berkuasa tempatan yang berkenaan.
Pada tahun 1995, sejumlah 6,565 permohonan bagi penilaian awal tapak telah diterima oleh Jabatan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.8. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 12% berbanding dengan tahun sebelumnya. Manakala Rajah 5.9 pula menunjukkan pecahan permohonan penilaian awal tapak yang diterima oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri.
Kelulusan Pemasangan Alatan/ Kemudahan
Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-peraturan yang berkaitan, kelulusan dalam bentuk kebenaran bertulis dan kelulusan bertulis perlu diperolehi daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling sebelum pembinaan atau pemasangan sebarang kemudahan yang akan mengakibatkan pelepasan bahan-bahan pencemar kepada persekitaran. Ini bertujuan untuk memastikan langkah-langkah pengawalan pencemaran digabungkan bagi mematuhi standard yang ditetapkan dalam Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis yang Ditetapkan) (Minyak Kelapa Sawit Mentah), 1977,
Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis yang Ditetapkan) (Getah Asli Mentah), 1978, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih), 1978 dan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Effluen-effluen Perindustrian), 1979.
(i) Kawalan Pencemaran Air
Sejumlah 796 permohonan kebenaran bertulis bagi pemasangan alat kawalan pencemaran air diterima oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri, iaitu pertambahan sebanyak 27% daripada tahun sebelumnya. Rajah menunjukkan Negeri Johor menerima paling banyak permohonan (42%), dan ini diikuti oleh Negeri Selangor (15 %). Jumlah kelulusan yang dikeluarkan dalam tahun 1995 ini menghasilkan penambahan sebanyak 4,468,473 meter padu/hari effluen yang diolah.
(ii) Kawalan Pencemaran Udara
Sepanjang tahun 1995, sebanyak 1,189 permohonan kelulusan bertulis bagi pemasangan ala pembakaran bahanapi telah diterima dan jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 17% dari tahun 1994. Permohonan yang paling banyak telah diterima daripada Negeri Sabah (20%), diikuti oleh Negeri Selangor (19%) dan Johor (17%) seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.11. Jumlah penggunaan bahanapi cecair dan gas adalah sebanyak 268,562 tan/hari manakala jumlah penggunaan bahanapi pepejal pula ialah sebanyak 12,516 tan/hari.
No comments:
Post a Comment