Sunday, 2 October 2011
PENGGUNAAN TANAH YANG BURUK MENIMBULKAN MASALAH
Kategori undang-undang tanah di Malaysia seperti yang dicatatkan dalam Laporan Klasifikasi Kemampuan Tanah (Lee dan Panton, 1971) termasuk Tanah Kerajaan, Tanah Yang Diberi Milik Untuk Pertanian, Tanah Yang Diluluskan Untuk Perlombongan, Tanah Rizab Melayu, Rizab Untuk Ternakan, Rizab Orang Asli, Rizab Hutan, Rizab Hidupan Liar dan Tanah Diberi Mlik/Diwartakan untuk kemudahan awam dan tujuan lain.
Kategori terakhir itu merujuk kepada tanah untuk pembangunan perbandaran, kubur, polis dan rezab tentera, lapangan terbang dan rizab-rizab lain kerajaan tetapi tidak termasuk rizab tadahan air.
Pembangunan tanah di Malaysia termasuklah pembangunan kawasan baru untuk pertanian, perlombongan dan perhutanan serta penukaran tanah untuk pertumbuhan industri dan perbandaran. Kepelbagaian penggunaan tanah meningkatkan konflik berhubung dengan matlamat pembangunan. Pembangunan yang pesat telah menjadikan tanah satu persaingan di Malaysia. Ia juga telah mengakibatkan amalan penggunaan tanah yang buruk dalam keadaan tertentu.
Amalan penggunaan tanah yang buruk boleh membawa kepada masalah yang serius dan berdepan dengan halangan untuk pembangunan dalam jangka panjang. Masalah yang boleh timbul termasuklah kemusnahan yang kekal atas kemampuan tanah untuk menyediakan faedah alam sekitar dan ekonomi, ketidakcekapan penggunaan sumber semula jadi yang diperolehi serta pengumpulan kesan negatif. Dari segi kawasan, pertanian akan menjadi salah satu bentuk pembangunan tanah yang paling meluas di Malaysia.
Teknik dan amalan pertanian moden, disokong oleh penggunaan mesin dan input sejumlah besar tenaga daripada minyak fosil telah menjadikan pertanian lebih produktif di Malaysia tetapi memberikan kesan kepada alam sekitar. Penukaran tanah daripada hutan kepada pertanian telah mengakibatkan meluasnya penebangan hutan, mengurangkan jumlah hutan dan kepelbagaian bilogi hutan serta hidupan liar.
Selain itu, pembukaan kawasan baru untuk pertanian telah menyebabkan sumber galian semakin berkurangan di kawasan ini. di sebalik fakta bahawa sebahagian besar tanah telah dikurangkan untuk pembangunan pertanian, kebanyakan tanah yang subur tidak digunakan untuk pengeluaran makanan, sebalinya digunakan untuk tujuan lain seperti perumahan, rekreasi dan kawasan perindustrian.
Pengeluaran makanan tempatan
Tambahan pula, perikanan persisir pantai dan pedalaman tidak begitu berjaya dalam persaingan untuk pembangunan tanah yang seterusnya melemahkan pengeluaran makanan tempatan. Usaha untuk menggalakkan pengeluaran makanan dan menggalakkan industri berasaskan makanan perlulah diperkukuhkan dalam usaha untuk menyediakan jaminan makanan untuk negara.
Kos import makanan negara dilaporkan sekitar RM8 bilion setahun dan turut menyumbang kepada defisit akaun semasa negara (NST, 1997). Memandangkan kemelesetan ekonomi semasa dan krisis mata wang, perkara ini perlu ditangani dengan segera.
Oleh kerana jumlah penduduk semakin meningkat di kawasan bandar, pembangunan infrastruktur semakin meningkat ke kawasan yang bermasalah dan kurang sesuai. Kawasan ini sering terdedah kepada kejadian banjir, hakisan sungai, tanah runtuh dan pemendapan, melainkan langkah pengawalan yang sempurna diambil.
Dalam kes tertentu, langkah pengawalan tidak dapat diambil dan cara terbaik untuk keselamatan penduduk ialah kawasan ini tidak dimajukan untuk perumahan tetapi digunakan untuk tujuan lain seperti taman, rezab semula jadi dan kawasan rekreasi.
Pada tahun 1996 terdapat lebih 100 kejadian banjir, 20 kejadian tanah runtuh, lapan kejadian mendapan dan tujuh kes tebing sungai dihakis, yang dilaporkan di Lembah Klang sahaja. Ini menunjukkan betapa perlunya diperkuatkan pengurusan perbandaran bersepadu untuk menjadikan penempatan manusia lebih selamat dan terjamin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment