Sunday, 2 October 2011

PUSAT KHIDMAT NASIHAT ALAM SEKITAR DI MIDA




Pusat Khidmat Nasihat di Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) menjalankan peranan sebagai penasihat bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan alam sekitar, bukan sahaja kepada pelabur-pelabur malah kepada orang ramai. Dalam tahun 1995, sebanyak 35 pelabur tempatan dan asing serta   40 orang awam telah mendapatkan nasihat dan maklumat mengenai alam sekitar. Perkara-perkara berkaitan dengan alam sekitar yang seringkali ditanya atau dirujuk adalah mengenai pembangunan projek-projek yang tertakluk di bawah Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling 1987, kesesuaian tapak bagi projek yang dicadangkan, keperluan-keperluan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan-peraturan yang berkaitan, galakan-galakan bagi pemasangan alat pengawalan pencemaran, prosedur EIA dan keperluan-keperluannya, peluang-peluang untuk memberikan perkhidmatan berkaitan alam sekitar termasuk perundingan dan teknologi kepada industri yang sedia ada, dan juga peranan penswastaan dalam rancangan jangka panjang kerajaan dan polisi-polisi alam sekitar yang akan memberi kesan kepada sektor industri.
Jabatan Alam Sekitar juga merupakan ahli jawatankuasa kepada Jawatankuasa Tindakan Berkenaan Pengindustrian yang meluluskan lesen pengilang dan galakan. Pada tahun 1995, sejumlah 80 permohonan lesen pengilang telah dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar untuk nasihat dan ulasan. MIDA juga menerima sejumlah 1,075 permohonan bagi projek-projek pengilangan berbanding dengan hanya 1,018 permohonan pada tahun 1994. Daripada jumlah tersebut, 554 permohonan adalah bagi projek-projek pengilangan baru dan selebihnya iaitu 521 permohonan adalah bagi projek pembesaran dan mempelbagaikan pengeluaran. Sejumlah 894 buah projek telah diberikan kelulusan oleh pihak MIDA berbanding 870 kelulusan dalam tahun 1994.
Sebanyak 516 buah projek daripada 894 kelulusan yang telah dikeluarkan adalah projek pengilangan baru, sementara 378 adalah bagi projek pembesaran dan mempelbagaikan pengeluaran kilang. Daripada jumlah ini,  41 projek adalah tertakluk di bawah Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling yang kebanyakannya merupakan projek industri kimia dan petrokimia, projek kitar semula buangan terjadual, pengeluaran bahan bukan logam seperti simen dan kapur, kilang kertas dan juga kawasan peranginan pinggir pantai.
(Petikan daripada Sumber Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar)

No comments:

Post a Comment